Wednesday 12 October 2011

Jagalah kesihatan macam kita jaga keta BMW!


Kalau kita jaga kereta kita bersungguh-sungguh, tentulah kita harus menjaga kesihatan diri kita bersungguh-sungguh juga...bahkan lebih lagi.

APA rasa anda apabila berjaya memiliki kereta BMW idaman hati?
Saya yakin, kita pasti akan jaga kereta kita itu macam 'isteri kedua' lagaknya.
Kita akan selalu membersihkannya sampai kilat, kita jaga enjinnya, jaga minyak dan menghantarnya untuk servicing secara tetap dari masa ke masa atau setiap 10,000 atau 15,000 kilometer kita gunakannya.
Kita tak nak letakkan kereta itu sebarangan - kalau boleh nak letak dalam rumah sahaja - kerana takut tercalar atau kemek dihentak kereta lain.
Kita jaga kereta kita supaya tidak rosak. Kalau ada tanda rosak sikit, cepat- cepat kita hantar ke mekanik untuk membaikinya.
Lebih besar kereta itu - dari BMW 3 series, kepada 5 series dan selanjutnya 6 series dan 7 series - lebih rajin kita menjaganya.
Maklumlah, kereta idaman...

Tetapi, kenapa tulis pasal kereta pulak?
Sebenarnya, menjaga kereta ini seumpama jaga kesihatan kita sendiri.

Kalau kita jaga kereta kita bersungguh-sungguh, tentulah kita harus menjaga kesihatan diri kita bersungguh-sungguh juga...bahkan lebih lagi.

Seperti kereta BMW - yang lebih besar 'series' nya, lebih kuat kita menjaganya - begitu juga dengan kesihatan dan umur kita.

Sejak usia 30-an tahun (macam BMW 3 serieslah) atau jauh lebih awal sebelum itu, kita sudah perlu menjaga kesihatan agar tidak dibebani penyakit.
Semakin usia kita meningkat ke 50-an tahun - macam jaga BMW 5 series - lebih perlu kita menjaga kesihatan kita. Begitulah selanjutnya.

Kalau kita tidak mahu kereta kita rosak, kita juga seharusnya tidak mahu kesihatan kita diganggu gugat dek pelbagai macam penyakit.

Kalau BMW makin besar, makin mahal dan kos penjagaannya semakin tinggi, begitu juga dengan kesihatan kita.
Semakin kita meningkat usia, kos perubatan yang perlu kita tanggung juga semakin meningkat.
Pakar-pakar kesihatan sering menasihatkan, jagalah kesihatan kerana walau sekaya mana pun kita, ia tidak akan cukup bererti jika kita tidak dikurnia kesihatan.

Kita boleh siapkan pelbagai strategi untuk kemajuan masyarakat Melayu kita, meningkatkan daya saing kita dalam ekonomi sejagat dan menjadi masyarakat yang cemerlang.

Tetapi, jika masyarakat kita dihambat dengan pelbagai jenis penyakit - jika ramai orang kita terlantar di hospital - bagaimana dapat kita laksanakan strategi kita itu?

Sebagai individu, kita menanam cita-cita untuk jadi karyawan yang berjaya, tokoh korporat, ahli niaga, ahli sukan yang handal atau penyanyi yang popular.

Tetapi, kalau badan kita tidak sihat, hendak bergerak pun susah, mampukah kita lakukan itu semua?
Seperti kata orang tua-tua, kalau duit banyak dalam bank pun, apa ertinya kalau banyak yang tidak boleh kita lakukan?
Hendak makan pun tersekat-sekat kerana terpaksa berpantang gara-gara kencing manis, darah tinggi dan lain-lain lagi.
Ada kereta semewah mana pun, baik BMW atau Mercedes atau apa-apa pun kereta lain, tidak akan bermakna kalau kita sakit terlantar.

Jadi, apa ertinya hidup kalau tanpa kesihatan?
Hakikatnya, kesihatan adalah harta tidak ternilai yang mesti kita jaga sebaik-baiknya. Ia adalah prasyarat kepada apa saja perkara yang ingin kita capai dalam hidup ini.
Terus terang, saya sendiri, pada usia 50-an tahun ini, sudah mula dihambat penyakit.
Beberapa tahun lalu, doktor mengesahkan saya menghidap kencing manis. Kemudian paras kolestrol dalam darah pula tinggi.
Setiap harisaya kena makan ubat dan banyak makanan kegemaran saya seperti coklat dan aiskrim terpaksa saya jauhkan.
Beberapa bulan lalu, saya dikejutkan dengan kencing berdarah. Perasaan saya terganggu kerana bimbang ada masalah pada ginjal saya. Mujur, selepas menjalani pemeriksaan, doktor mengesahkan ada batu dalam ginjal saya.
Batu itu kemudian dipecahkan menerusi rawatan laser shock wave, tetapi keseluruhan kosnya mencecah $6,000 - walhal rawatan itu hanya setengah hari, tanpa perlu bermalam dalam wad.
Mujur saya ada perlindungan insurans daripada majikan dan insurans yang saya beli sendiri.
Jika tidak, tentu saya kena bayar tunai di samping wang simpanan Medisave.

Itu baru batu karang. Bagaimana kalau terkena penyakit lain lebih besar seperti jantung dan barah? Nauzubillah...

Mungkin silap saya sendiri kerana waktu muda dahulu saya tidak ambil peduli sangat tentang kesihatan. Saya makan apa sahaja yang saya mahu. Saya jarang bersenam. Saya sangka saya akan sihat selamanya, tetapi sangkaan saya salah.
Tetapi, saya masih belum menyerah kalah. Selagi ada hayat, belum terlambat untuk kita berusaha.
Kini saya cuba kawal makanan (dengan bantuan isteri di rumah) dan cuba bersenam secara tetap.
Mudah-mudahan saya dapat mengawal penyakit saya dan tidak terkena penyakit baru pula.

Saya juga kini lebih sering melawat orang sakit, baik di rumah mahupun di hospital.
Sebab, kian ramai teman dan saudara saya yang melewati usia 40-an tahun kini menghidapi pelbagai penyakit.
Justeru itu, selagi anda masih muda dan sihat, jagalah kesihatan dan gaya hidup anda.
Walau sesibuk mana pun kita bekerja, membina kerjaya dan keluarga, kita tetap tidak boleh abaikan kesihatan kita.
Kita juga kena siapkan payung sebelum hujan. Dengan kos kesihatan yang semakin tinggi, kita perlu bersiap sedia dari segi kewangan. Belilah insurans kesihatan untuk melindungi kita dan keluarga daripada penyakit yang datang tanpa diundang.

Walaupun ada orang kita kata, 'Jaga macam mana pun, kalau nak sakit, sakit juga; orang yang sihat pun meninggal dunia...' tetapi kita tetap perlu berusaha.
Semakin usia meningkat, semakin kita perlu waspada. Mencegah lebih baik daripada merawat.

Kalau ada tanda-tanda sakit, segeralah 'periksa doktor' agar sakit kita dapat dikesan dan dirawat sebelum ia melarat.
Jangan pula kita jumpa doktor setakat nak minta MC atau cuti sakit aja...

SUMBER
CYBERITA.ASIA.COM.SG
mahu tahu caranya bagaimana anda boleh mulakan langkah pertama dalam penjagaan kesihatan? layari www.peaklifestyle.com/fazila/coi atau add saya di fesbuk

No comments:

Post a Comment